JAMES BROOKE DAN ISU PELANUNAN DI BORNEO, 1844-1846
##plugins.themes.bootstrap3.article.main##
Abstrak
Kehadiran James Brooke ke Borneo telah membuka fasa baharu dalam
sejarah kerajaan Melayu khususnya bagi kerajaan Brunei yang menerima
campur tangan British dalam urusan pentadbiran negara dan selanjutnya
membawa kepada penguasaan Sarawak. Kedatangan James Brooke turut
memberikan pentafsiran baharu terhadap istilah lanun dan pelanunan
di wilayah tersebut serta dianggap sebagai satu jenayah yang serius.
Semua perbuatan serangan di laut dianggap sebagai lanun sama ada yang
disokong oleh pihak kerajaan ataupun secara persendirian. Kegiatan lanun
di Borneo dilihat oleh James Brooke sebagai satu halangan dan masalah
besar kepada dirinya dan pihak British untuk menguasai perdagangan di
wilayah tersebut. Hal ini kerana, banyak kapal-kapal Eropah yang telah
diserang oleh kelompok lanun tersebut justeru merugikan kerajaan kolonial.
James Brooke meletakkan harapan yang tinggi terhadap monopoli hasil
bumi di Sarawak dan Labuan. Oleh yang demikian, pelbagai strategi dan
taktik yang digunakan oleh James Brooke untuk menumpaskan kegiatan
lanun selain mendapat sokongan pemimpin kerajaan Brunei sendiri yang
meminta bantuan James Brooke untuk menumpaskan pemberontakan yang
berlaku dalam kerajaan Brunei. Permintaan Sultan Omar Ali Saifuddin dan
Pangeran Muda Hashim supaya James Brooke membantu menghadapi
musuh politiknya iaitu Pangeran Usop dan rakan kerjasamanya Sharif
Usman telah memudahkan lagi proses penjajahan British di Sarawak dan
Labuan. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif untuk menganalisis
pelbagai rekod dan sumber termasuklah sumber primer dan sekunder yang
diperoleh dari The National Archives, United Kingdom dan perpustakaan
tempatan.