KEUSAHAWANAN MELAYU PADA SUKU AKHIR ABAD KE-18: BERDASARKAN KOLEKSI SURAT-MENYURAT FRANCIS LIGHT
##plugins.themes.bootstrap3.article.main##
Abstrak
Artikel ini akan mengkaji kegiatan keusahawanan orang Melayu di sekitar
suku akhir abad ke-18 di Tanah Melayu. Keusahawanan merupakan
bidang strategik yang sentiasa mendapat perhatian dari semasa ke semasa
tanpa mengira bangsa. Kedatangan kuasa-kuasa Barat mulai abad ke-16
menyebabkan taraf keusahawanan Melayu semakin menurun dan lama
kelamaan kegiatan ini menjadi terasing dalam kalangan masyarakat Melayu
menjelang awal abad ke-19. Sehubungan itu, Koleksi Surat-surat Francis
Light akan menjadi sumber utama dalam meneliti situasi tersebut. Hal ini
disebabkan kebanyakan isi kandungan koleksi surat-surat ini masih banyak
memperihalkan hal ehwal perdagangan orang Melayu seperti golongan
yang terlibat, perjawatan, barang dagangan, dan sistem perniagaan yang
digunapakai semasa menjalankan urusan jual beli. Beberapa pucuk surat
antara sultan, pembesar, dan peniaga persendirian dengan Francis Light
yang menjadi ‘Gurnadur’ di Pulau Pinang pada masa itu akan diteliti
untuk mengetahui pelbagai aspek keusahawanan pada masa itu. Antaranya
ialah surat daripada Sultan Kedah, Saudagar Raja Kedah, Sultan Ibrahim
Selangor, pembesar Batu Bahara, Sumatera dan surat peniaga persendirian
yang dihantar kepada Francis Light. Tuntasnya, koleksi ini merupakan
sumber sejarah bertulis yang penting dalam usaha mengenali kegiatan
keusahawanan Melayu sebelum jatuhnya beberapa buah negeri Melayu
ke tangan penjajah British.