RISALAH DARURAT: PENYEBARAN KEGIATAN KOMUNIS KEPADA PENDUDUK DI TANAH MELAYU, 1948-1960+
##plugins.themes.bootstrap3.article.main##
Abstrak
Ancaman komunis kepada ketenteraman awam dan keselamatan di
Tanah Melayu telah mengakibatkan pentadbiran British mengisytiharkan
darurat. Pada zaman darurat (1948-1960), pihak pentadbiran merancang
dan menjalankan pelbagai strategi untuk memerangi ancaman komunis.
Kegiatan komunis pada zaman darurat telah mendatangkan kebimbangan,
kesusahan dan kerugian kepada penduduk serta pentadbiran. Bagi
menyedarkan penduduk tentang kegiatan kejahatan yang dilakukan oleh
komunis, pihak kerajaan melalui Jabatan Perhubungan Raya (kemudian
dikenali Jabatan Penerangan Persekutuan Tanah Melayu) telah menerbit
dan menyebar Risalah Darurat (Emergency Leaflets). Kajian ini dijalankan
dengan meneliti dan menganalisis sampel Risalah Darurat yang dikumpul
dari Arkib Negara Malaysia Kuala Lumpur dan cawangannya. Daripada
kajian, penyebaran Risalah Darurat adalah bertujuan bagi menarik sokongan
dan kerjasama penduduk kepada usaha pihak pentadbiran dalam memerangi
komunis. Melalui itu, penduduk dapat mengetahui kegiatan keganasan
dan kejahatan komunis yang mengancam kestabilan hidup mereka. Ini
kerana Risalah Darurat selain memaparkan maklumat tentang bahaya
kegiatan keganasan komunis, pihak pentadbiran turut menyeru penduduk
supaya tidak membantu komunis dan memberi kerjasama kepada kerajaan.
Justeru, penyebaran risalah kepada orang awam dapat membantu pihak
pentadbiran dalam menangani ancaman komunis di negeri-negeri Melayu
kerana risalah mendukung mesej dan harapan pihak pentadbiran terhadap
penduduk tempatan. Risalah juga menyebarkan kegiatan dan tujuan sebenar
perjuangan komunis di Tanah Melayu supaya penduduk dapat menolak
untuk memberi bantuan kepada komunis.