ORANG BESAR DAERAH DI SELANGOR, 1782-1857: PENERUSAN DAN PERUBAHAN
##plugins.themes.bootstrap3.article.main##
Abstrak
Orang besar daerah, salah sebuah jawatan terpenting, diaplikasikan dalam
pentadbiran Selangor sejak diasaskan oleh Sultan Salehuddin, Sultan
Selangor pertama, 1766-1782. Jawatan ini diteruskan oleh Sultan Ibrahim,
Sultan Selangor kedua, 1782-1826, Sultan Muhammad, Sultan Selangor
ketiga, 1826-1857, Sultan Abdul Samad, Sultan Selangor keempat,
1857-1898, sehingga dimansuhkan oleh British pada 1874. Jawatan ini
memiliki perkembangan tersendiri khususnya era Sultan Ibrahim dan Sultan
Muhammad. Namun kesan perkembangan jawatan orang besar daerah era
Sultan Ibrahim dan Sultan Muhammad kurang diketengahkan oleh R. J.
Wilkinson, L. D. Gammans, R. O. Winstedt, Khoo Kay Kim, Dianne Lewis
dan J. M. Gullick dalam penerbitan masing-masing, berlakunya kekeliruan
dan menimbulkan pelbagai persoalan. Oleh itu, kajian ini bertujuan
mengupas bahawa sistem pentadbiran Selangor adalah bersistematik
khususnya dengan terdapatnya jawatan orang besar daerah sebagai ketua
dan nadi pembangunan di peringkat daerah era Sultan Ibrahim dan Sultan
Muhammad. Objektif kajian ini ialah mengenal pasti sistem pentadbiran
Selangor di bawah pentadbiran Sultan Ibrahim dan Sultan Muhammad;
menganalisis perkembangan jawatan orang besar daerah era kedua-dua
sultan ditetapkan; dan menilai sama ada tokoh penyandang posisi ini telah
atau tidak membangunkan Selangor pada tempoh ditetapkan. Metodologi
kajian ini menggunakan Reka Bentuk Penyelidikan Bawang Saunders yang
memiliki enam lapis, antaranya kajian penyelidikan yang menggunakan
kaedah penyelidikan tunggal kualitatif memberatkan instrumen dokumen
berbanding temu bual dan pemerhatian. Secara keseluruhannya, jawatan
orang besar daerah telah dibentuk secara rasmi di Selangor era Sultan
Salehuddin dan diteruskan ketika pentadbiran Sultan Ibrahim dan Sultan
Muhammad. Dengan terdapatnya jawatan ini, Selangor dapat dibangunkan
dari aspek pentadbiran, ekonomi, sosial dan sosioekonomi pada setiap
masa. Antara komoditi terpenting ketika pentadbiran Sultan Ibrahim dan
Sultan Muhammad ialah bijih timah. Impak mendominasi perdagangan
bijih timah di Tanah Melayu, Sultan Ibrahim berusaha menjajah beberapa
kawasan di negeri Perak dan Negeri Sembilan pada konteks kini (2021).
Namun keluasan tanah jajahan ketika pentadbiran Sultan Muhammad,
kerajaan Selangor kembali kepada sedia kala, seperti era Sultan Salehuddin.
Implikasi kajian ini dapat memberikan fakta baharu bahawa jawatan orang
besar daerah telah diaplikasikan di Selangor sejak diasaskan oleh Sultan
Salehuddin. Melalui penambahan fakta ini, pengkaji pada masa hadapan
sama ada akan atau tidak menyokong hasil dapatan dikemukakan dan
menyediakan hasil kajian baharu berdasarkan sumber primer yang lebih
relevan.