Perbahasan Ahli Parlimen Malaysia Terhadap Usul Pemisahan Singapura Dari Persekutuan Malaysia
Main Article Content
Abstract
Artikel ini menganalisis isu-isu yang dibahaskan oleh Ahli Parlimen Malaysia di Dewan Rakyat dan Dewan Negara berkaitan isu Singapura dikeluarkan dari Persekutuan Malaysia tanggal 9 Ogos 1965 setelah berada dalam Persekutuan Malaysia hampir dua tahun iaitu semenjak 16 September 1963. Justeru kajian kualitatif dilakukan iaitu menggunakan Analisis teks dengan meneliti dan mendeskripsi laporan rasmi (Hansard) Parlimen Malaysia yang bersidang pada 9 Ogos 1965 dan 16 Ogos 1965 sebagai sumber utama di samping beberapa sumber kepustakaan lain bagi mendeskripsikan sebab dan akibat yang membawa kepada penyingkiran Singapura dari Persekutuan Malaysia. Berdasarkan kajian, didapati wujudnya perbezaan pandangan yang ketara antara dua tokoh iaitu Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman (Tunku) dengan Ketua Menteri Singapura, Lee Kuan Yew (LKY) terutama dalam aspek ekonomi, politik dan sosial yang akhirnya membawa kepada penyingkiran Singapura. Berdasarkan konsep Persekutuan, Tunku berpandangan Kerajaan Pusat mempunyai kuasa terhadap negeri termasuk Singapura namun LKY menganggap sebaliknya. Tunku juga dilihat masih mempertahankan ketuanan Melayu manakala LKY kelihatan bersungguh sungguh mengutarakan konsep Malaysian Malaysia yang membawa maksud semua penduduk mempunyai hak sama rata tanpa melebih atau mengurangkan kaum tertentu. Perbezaan pandangan ini menyebabkan 126 ahli Parlimen membuat keputusan menyokong usul Tunku untuk menyingkirkan Singapura dari Persekutuan Malaysia.