FALSAFAH DAN PELESTARIAN TIGA HUJUNG DALAM KALANGAN ARISTOKRAT BUGIS DI ALAM MELAYU: MENELAAH MAKLUMAT DARI TEKS TUHFAT AL-NAFIS, SALASILAH MELAYU DAN BUGIS, SERTA HIKAYAT UPU DAENG MENAMBUN
Main Article Content
Abstract
Artikel ini membincangkan falsafah dan pelestarian tiga hujung dalam
konteks aristokrat Bugis berperanan di Alam Melayu pada sekitar abad
ke-18, berdasarkan tiga teks utama iaitu Tuhfat al-Nafis, Salasilah Melayu
dan Bugis dan Hikayat Upu Daeng Menambun. Meskipun terdapat
pengkaji terdahulu antaranya A.Moien Mg (1994), Christian Pelras
(2006), H. Abu Hamid (2007), dan Ahmad Farhan Abdullah@Zakaria
(2011) membincangkan tentang topik ini, tetapi perbincangan mereka
kurang menyeluruh. A.Moein Mg dan H.Abu Hamid dan Christian Pelras
lebih menumpukan tentang persoalan siriq yang menjadi weltanschauung
masyarakat Bugis. Manakala Ahmad Farhan menyentuh serba sedikit
tetapi tidak berdasarkan ketiga teks yang dinyatakan. Oleh itu makalah
ini akan membuktikan bagaimana falsafah tiga hujung iaitu ‘hujung lidah,
hujung syahwat dan hujung badik’ dilestarikan oleh aristokrat Bugis ketika
berperanan di Alam Melayu berdasarkan teks Tuhfat al-Nafis, Salasilah
Melayu dan Bugis dan Hikayat Upu Daeng Menambun. Makalah ini
akan: mengenalpasti penggunaan falsafah hujung lidah yang lazimnya
diterjemahkan dalam bentuk penulisan; menganalisis penggunaan falsafah
hujung syahwat melalui perkahwinan Bugis dan Melayu; dan menilai
bagaimana falsafah hujung badik dipraktikkan ketika terlibat dalam
perang di Alam Melayu. Secara keseluruhannya, penggunaan tiga falsafah
ini jelas dilestarikan oleh aristokrat Bugis ketika berperanan di Alam
Melayu. Antaranya: terhasilnya teks-teks Melayu Bugis seperti Tuhfat
al-Nafis dan Salasilah Melayu dan Bugis melalui konsep hujung lidah;
geneologi aristokrat Bugis berkembang melalui falsafah hujung syahwat
(perkahwinan) dan mengapalai perang melalui falsafah hujung badik.