JENIS PEKERJAAN DAN KADAR UPAH DALAM KALANGAN ORANG INDIA DI SELANGOR SEBELUM PERANG DUNIA KEDUA: SATU PENELITIAN AWAL
##plugins.themes.bootstrap3.article.main##
Abstrak
Kehadiran British telah membawa impak yang ketara dari segi politik,
ekonomi dan sosial di Tanah Melayu. Pengenalan ekonomi komersial
terutamanya berkaitan getah dan bijih timah di Tanah Melayu telah
menggalakkan kemasukan orang India dan Cina ke negeri-negeri Tanah
Melayu. Bagi orang India, ramai daripada mereka telah dijadikan sebagai
buruh di ladang-ladang getah. Sebahagian pula terlibat dalam pelbagai
sektor ekonomi termasuk di dalam perkhidmatan awam. Antara negeri
yang menjadi tumpuan orang India di Tanah Melayu ialah Selangor yang
sememangnya sedang berkembang pesat dalam era awal abad ke-20 hingga
era sebelum Perang Dunia Kedua. Perbincangan artikel ini cuba menjawab
persoalan mengenai penglibatan orang India dalam kegiatan ekonomi di
Selangor. Apakah jenis-jenis pekerjaan yang dilakukan oleh mereka dan
bagaimanakah kadar upah yang mereka terima. Sebagai sebuah kajian
sejarah, penulisan ini dilakukan dengan menggunakan pelbagai sumber
sama ada sumber pertama atau kedua. Sumber pertama seperti Annual
Report of The Labour Department, Malaya: Malayan Statistics, Federated
Malay States Annual Report of Education Department, Fail Setiausaha
Kerajaan Negeri Selangor dan Selangor Government Gazette serta sumber
kedua seperti buku, Latihan Ilmiah dan kertas kerja. Penulisan ini dilihat
amat signifikan untuk mengisi kekosongan tentang sejarah masyarakat India
di Selangor dari segi ekonomi. Aspek ini masih dilihat sebagai salah satu
aspek yang kurang diberikan penekanan. Hasil daripada kajian ini didapati
bahawa penglibatan masyarakat India dalam kegiatan ekonomi di Selangor
telah membawa satu perubahan ketara dalam perkembangan ekonomi serta
memberikan sumbangan yang sangat penting dalam pembangunan negeri
Selangor sejak zaman pra-merdeka.