ZA‘BA DAN PERBAHASANNYA TENTANG TAKDIR
Main Article Content
Abstract
Makalah ini membahas karya teologi Zainal Abidin bin Ahmad, atau nama
singkatannya Za‘ba, iaitu Falsafah Takdir, yang menggariskan pandangan
rasionalnya tentang mazhab teologi Islam dan tradisi diskursusnya.
Pemahaman tersebut dirumuskan daripada penulisan Dr. Basharat Ahmad
yang disiarkan dalam majalah Islamic Review (keluaran Ogos-September
1921) yang berpangkalan di Woking, London bertajuk “Taqdir (Pre
Measurement in Islam” yang menghuraikan pandangan agama yang koheren
tentang takdir yang mendukung prinsip rasional dan semangat logika. Za‘ba
cuba menggarap idea tersebut dalam konteks masyarakat Melayu untuk
membawa perspektifnya yang dinamik dan tercerah bagi merubah sikap
menyerah dan fatalistik bangsanya dalam kepercayaan dan penghidupannya.
Kajian ini dirangka berasaskan kaedah kualitatif dalam bentuk naratif
pustaka dan analisis teks. Ia menerapkan pendekatan normatif, deskriptif,
dan historis dalam analisis dan penyorotan data. Hasil kajian mendapati
Za‘ba membawa idealisme perubahan dan semangat pencerahan yang
mengesankan yang diilhamkan daripada ajaran-ajaran al-Qur’an dan hadith
yang telah membangkitkan kesedaran dan keyakinan baru dalam masyarakat
Melayu tentang idea takdir yang sebenar. Ini dikembangkan dari prinsip
metafizik dan kerangka falsafah Islam yang rasional yang mengacu pada
faham etika dan religius yang dinamik dan berimplikasi dalam konteks
sejarah yang moden dalam mengilhamkan pembaharuan intelektual dan
pandangan hidup yang tercerah dan progresif.