USAHA MASYARAKAT CINA DALAM MENGEKALKAN PENDIDIKAN CINA DI TANAH MELAYU: 1948-1956
Main Article Content
Abstract
Dalam kalangan masyarakat Cina, pendidikan merupakan antara aspek asas
yang ditekankan dalam kehidupan mereka. Ini kerana pendidikan bukan
sahaja dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan pemikiran mereka,
malahan pendidikan merupakan instrumen utama yang dapat memelihara
bahasa, budaya dan tradisi kaum. Sehubungan itu, orang Cina melihat
sekolah Cina adalah warisan budaya kaum yang perlu dipertahankan.
Justeru, sekolah Cina telah dibina di negeri-negeri Melayu oleh masyarakat
Cina sejak abad ke-19. Kewujudan sekolah Cina di Tanah Melayu berterusan
pada era pasca Perang Dunia Kedua. Artikel ini bertujuan untuk meneliti
bagaimana keadaan sekolah Cina di Tanah Melayu pada era pasca Perang
Dunia Kedua dan cabaran yang dihadapi oleh sekolah Cina terutamanya
pada zaman Darurat (1948-1960). Seperkara lagi yang turut diteliti dalam
artikel ini ialah usaha masyarakat Cina dalam memelihara penerusan
pendidikan dan sekolah Cina di negeri-negeri Melayu pasca Perang
Dunia Kedua. Perkara ini dapat dilihat melalui sokongan mereka kepada
cadangan dalam Laporan Fenn-Wu yang mengajukan penerusan sekolah
Cina dengan kurikulum dan buku teks yang sesuai dengan keadaan di
Tanah Melayu. Perjuangan mereka turut dapat dilihat dengan jelas melalui
respons mereka terhadap Penyata Pendidikan 1952 dan Penyata Razak
1956 yang dikeluarkan menjelang kemerdekaan Tanah Melayu. Kajian
ini disempurnakan dengan menggunakan sumber primer dan sumber
sekunder melalui kaedah kepustakaan serta arkib. Daripada kajian adalah
jelas bahawa rata-rata orang Cina berusaha memperjuangkan pengekalan
dan penerusan pendidikan serta sekolah Cina di negeri-negeri Melayu pada
era pasca Perang meskipun sekolah Cina pada ketika itu berdepan dengan
bahaya ancaman daripada komunis.