BIAR PUTIH TULANG TIDAK PUTIH MATA, MERDEKA TETAP MERDEKA: MEMORI PERJUANGAN MOHAMAD JOHARI BIN ANANG MENENTANG BRITISH DI SARAWAK, 1945-1948
Main Article Content
Abstract
Mohammad Johari bin Anang atau lebih dikenali sebagai Johari Anang
adalah salah seorang tokoh yang tidak ternilai jasa dan sumbangan dalam
perjuangan menentang serahan, dan kemudiannya kemerdekaan Sarawak.
Pada peringkat awal perjuangannya melalui persuratkhabaran. Selain
itu beliau terlibat sebagai pengasas, dan seterusnya menyandang jawatan
sebagai Setiausaha Agung Persatuan Melayu Sarawak (kemudiannya
dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak - PKMS). Ketika
menyandang jawatan setiausaha agung PKMS, beliau muncul sebagai
pejuang yang sangat berani, membangkitkan kesedaran dan menentang
langkah kerajaan British menjadikan Sarawak sebagai jajahan mahkota, serta
membebaskan Sarawak daripada jajahan mahkota. Dalam perbincangan
Johari Anang ini sumber sekunder dan primer dirujuk, antaranya pelbagai
tulisan berkaitan dengan beliau, dan yang utama surat Johari Anang yang
tersimpan di Arkib Kebangsaan United Kingdom, London. Kandungan
surat tulisan Johari Anang menjelaskan yang beliau adalah salah seorang
tokoh yang tidak dapat disangkal sebagai seorang pejuang Melayu Sarawak
yang gigih, berani, dan berdedikasi.