PERSAINGAN BARISAN NASIONAL DAN PAKATAN HARAPAN DALAM PILIHAN RAYA UMUM KE-14 DI NEGERI SEMBILAN
Main Article Content
Abstract
Artikel ini memfokuskan perbincangan mengenai pertembungan antara
Barisan Nasional dan Pakatan Harapan dalam persaingan memenangi
Pilihan Raya Umum ke-14 di Negeri Sembilan. PRU-14 mencatatkan
sejarah penting politik Malaysia yang menyaksikan berakhirnya dominasi
Barisan Nasional setelah menguasai kuasa pentadbiran kerajaan Pusat
selama tempoh 61 tahun. Gabungan parti ini turut kehilangan penguasaan
di peringkat pentadbiran kerajaan Negeri termasuk Negeri Sembilan yang
dianggap sebagai kubu kuat Barisan Nasional. Dominasi pemerintahan
Barisan Nasional berjaya dinafikan Pakatan Harapan yang memperoleh
kerusi mudah pada pilihan raya ini untuk membentuk pentadbiran kerajaan
Negeri Sembilan. Justeru itu, objektif artikel adalah untuk mengenal pasti
persaingan politik Negeri Sembilan pada PRU-14 berdasarkan tawaran
manifesto parti bertanding. Seterusnya, artikel ini menumpukan persaingan
antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan dengan membincangkan
manifesto yang ditawarkan dua gabungan parti ini. Kajian artikel ini
menggunakan kaedah kualitatif berdasarkan metodologi sejarah dengan
menganalisis manifesto pilihan raya dan penulisan akhbar-akhbar tempatan
mengenai isu berkaitan PRU-14. Dapatan kajian mendapati, Barisan
Nasional melalui manifesto pilihan raya menonjolkan kejayaan yang dicapai
sepanjang tempoh pentadbiran dan menetapkan matlamat meneruskan dasar
pembangunan negeri yang telah dirancang. Walau bagaimanapun, Pakatan
Harapan telah memberi tentangan kuat dengan menjadikan isu salah tadbir
urus negara dalam kepimpinan Barisan Nasional sebagai sentiment utama.
Isu tersebut diangkat dengan turut diperjuangkan ke dalam manifesto
pilihan raya.