TAIPING BANDAR WARISAN: CITRA WANITA MELAYU DI BANDAR KOSMOPOLITAN TAIPING, 1930-AN
Main Article Content
Abstract
Makalah ini membincangkan tentang wanita Melayu dengan melihat
kepada perubahan yang mereka alami pada 1930-an. Ia dilakukan dengan
membandingkan ciri-ciri serta cara hidup wanita Melayu Taiping dengan
citra wanita Perak sebelum tempoh tersebut.Imej wanita dalam masyarakat
Melayu tradisional disinonimkan dengan peranan yang submisif atas fungsi
mereka sebagai suri rumah dan ibu dalam rumah tangga. Bagaimanapun,
pemikiran tentang emansipasi wanita telah menular dalam masyarakat
Muslim sejak daripada penghujung abad ke-19. Kajian ini menilai
sejauhmana idea berkenaan berkesan dalam kalangan wanita Melayu yang
tinggal di bandar pentadbiran penting British iaitu di Taiping. Kajian ini
menggunakan maklumat yang diperolehi daripada akhbar sezaman dan
fail-fail pentadbiran yang berkaitan yang terdapat dalam koleksi Arkib
Negara Malaysia Kuala Lumpur dan Perpustakaan Negeri Perak. Kajian
mendapati wanita Melayu Taiping sepanjang 1930-an mula meninggalkan
ciri-ciri tradisional yang ada dalam masyarakat Perak sebelum 1930-an dan
mengadaptasi gaya hidup baru yang dipengaruhi oleh Barat yang dianggap
akan menjadi batu loncatan untuk mereka mencapai kemajuan.