REAKSI DAN PENDEKATAN PEMIMPIN UMNO TERHADAP TEKANAN POLITIK LEE KUAN YEW: SINGAPURA DALAM PERSEKUTUAN MALAYSIA, 1963-1965
Main Article Content
Abstract
Artikel ini menilai pendekatan pemimpin politik UMNO dalam menghadapi
provokasi dan tekanan yang ditimbulkan Lee Kuan Yew. Perbincangan
melibatkan tempoh ketika Singapura berada dalam Persekutuan Malaysia
iaitu sepanjang tempoh 1963 sehingga 1965. Sepanjang tempoh ini, Tunku
Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri telah menghadapi konflik politik
dengan Lee Kuan Yew yang memimpin Singapura. Konflik politik timbul
berikutan terdapat pertentangan dasar pentadbiran dan idea politik antara
Singapura dengan pemerintahan kerajaan Pusat. Meskipun begitu, konflik
politik lebih tertumpu melibatkan UMNO dan People’s Action Party (PAP).
Maka, objektif perbincangan ini adalah untuk menganalisis apakah reaksi
dan pendekatan pemimpin UMNO dalam mengambil pendekatan terhadap
provokasi Lee Kuan Yew. Metodologi kajian sejarah digunakan dengan
menggunakan sumber primer iaitu melibatkan analisis terhadap dokumen
Dominian Office DO 169/526, DO 169/527 dan DO 169/529. Kajian
mendapati bahawa tindakan Lee Kuan Yew mencetuskan provokasi ini telah
menimbulkan reaksi negatif pemimpin politik UMNO. Pemimpin PAP itu
dianggap melebihi batasan dalam melakukan provokasi dan tekanan kepada
kerajaan Pusat. Walau bagaimanapun terdapat pandangan berbeza kalangan
pemimpin UMNO dalam mengambil pendekatan terhadap Lee Kuan Yew.
Pemimpin utama UMNO dalam Kerajaan Pusat cenderung mengambil
pendekatan berhati-hati bagi menangani pemimpin Singapura itu. Manakala,
muncul golongan yang menuntut tindakan tegas sebagai pendekatan bagi
mengawal Lee Kuan Yew daripada terus mencetuskan masalah.