SEJARAH WANITA INDIA DI TANAH MELAYU: SATU PENELITIAN LITERATUR
Main Article Content
Abstract
Makalah ini merupakan satu penelitian literatur yang telah dijalankan
mengenai wanita India di Tanah Melayu dalam pelbagai aspek. Pensejarahan
Malaysia telah mengalami satu transformasi yang ketara sejak negara ini
mencapai kemerdekaan. Penulisan sejarah mula memberikan perhatian
kepada sejarah kaum wanita yang melibatkan aspek-aspek ekonomi
dan sosial dan tidak hanya menjurus kepada kaum lelaki semata-mata.
Kebanyakan kajian sejarah yang dilakukan lebih tertumpu kepada kaum
lelaki yang memainkan peranan penting dalam politik, ekonomi dan sosial.
Penulisan mengenai sejarah wanita India kurang diberi perhatian dalam
penulisan dan pengkajian sejarah sebelum ini, namun ia mula diteroka oleh
sejarawan muda terutamanya di universiti-universiti tempatan. Makalah ini
menjawab persoalan mengenai apakah kajian-kajian yang telah dijalankan
untuk mengkaji sejarah wanita India di Tanah Melayu yang meliputi buku,
kajian ilmiah dan disertasi. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif
melalui data-data yang diambil dan dianalisis daripada sumber-sumber
pertama dan kedua. Hasil kajian didapati bahawa kajian-kajian yang telah
dijalankan tentang wanita India dapat dikategorikan melalui tiga tema
iaitu masyarakat India di Tanah Melayu, sejarah gender di Tanah Melayu
dan sejarah wanita India di Tanah Melayu.Kajian mengenai wanita adalah
sangat penting kerana penglibatan wanita dalam pembangunan negara dan
sumbangan mereka dari segi ekonomi, politik dan sosial telah menimbulkan
pelbagai dimensi persoalan gender. Kajian ini memberi fokus kepada
penelitian literatur terhadap sejarah wanita India di Tanah Melayu.